KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta penganjur program jelajah pasukan Manchester United ke Malaysia pada Julai ini tidak membatalkan lawatan itu.
"Kita harap pihak yang nak menganjurkan lawatan itu tidak membatalkannya kerana ini kehendak kerajaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2007," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada anggota Umno sempena sambutan ulang tahun ke-61 parti di sini.
"Kita harap pihak yang nak menganjurkan lawatan itu tidak membatalkannya kerana ini kehendak kerajaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2007," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada anggota Umno sempena sambutan ulang tahun ke-61 parti di sini.
Abdullah, yang juga presiden Umno, pada mulanya kelihatan terkejut apabila pemberita mengajukan soalan berkaitan pembatalan lawatan juara bola sepak Liga Inggeris itu ke sini, sambil bertanya: "Apa pasal?"
"Kita nak pasukan itu membuat lawatan ke Malaysia sebab ini Tahun Melawat Malaysia 2007. Dalam bidang sukan kalau ada pasukan Manchester United nak datang ke Kuala Lumpur, kita percaya banyak juga nanti peminat Manchester United yang ada di rantau ini sama ada yang ada di Singapura ke, di Thailand ke, akan ke sini.
"Kita semua tahu kehandalan pasukan ini dan saya percaya ia menjadi tarikan kepada peminat bola sepak," katanya
Abdullah, yang difahamkan meminati pasukan itu, bagaimanapun menolak ada unsur sabotaj. "Saya tak mahu gunakan perkataan sabotaj," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan itu.
Selasa lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta penganjur program itu membatalkan lawatan pasukan itu ke sini sebagai mematuhi permintaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang meminta negara-negara Asia yang terbabit dengan jelajah itu menarik balik sokongan mereka kerana lawatan itu bertembung dengan Kejohanan Piala Asia yang berlangsung dari 7 hingga 29 Julai.
AFC sebelum itu menyifatkan kedatangan sebuah pasukan Eropah ke Asia semasa benua ini sedang menganjurkan kejohanan besar sebagai tidak bermoral dan tidak beretika.
Manchester United, yang mempunyai ramai peminat di negara ini, dijadual menentang pasukan Pilihan Malaysia di sini pada 27 Julai, dua hari sebelum perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta.
Selain Malaysia, pasukan itu juga dijadual membuat jelajah pramusim ke Jepun, Korea Selatan dan Macau.
Sumber: BERNAMA












No comments:
Post a Comment