18 May 2007

Debat Akhir AF5: Sesi belasah Aswad!

Debat AF5 yang terakhir melabuhkan tirainya dengan meninggalkan sebuah kenangan yang tidak begitu manis. Corak dan arahtuju debat terakhir malam semalam berlangsung dalam keadaan yang tidak harmonis dan hujah yang bersifat peribadi.

Program yang sepatutnya menjadi tempat bertukar pendapat menjadi tempat melepaskan geram dan perasaan pula. Oleh kerana program ini berupa siaran langsung, maka tiada tapisan. Apa saja yang dirasakan oleh ahli panel terus disampaikan seolah-olah telah diberi mandat untuk berbuat demikian?



Kenapa sampai begitu sekali perasaan benci yang meluap-luap terhadap seorang pelajar AF5 yang bernama Aswad? Sedangkan kalau tidak silap, topik yang dibicarakan seharusnya berkisar tentang "keberkesanan lampu biru."

Namun topik itu akhirnya bertukar menjadi medan membelasah Aswad dan Aswad dan Aswad. Terkejut juga mendengar cara dua ahli panel meluahkan idea bernas mereka untuk menegakkan apa yang mereka fikir.

Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian terdiri dari Pengetua AF5, Roslan Aziz, juri tetap Fauziah Dato Ahmad Daud, Editor Hiburan Kosmo, Saharuddin Mustapha dan pemberita dari Malay Mail Joe Lee.

Lebih manis rasanya kalau topik itu dibincangkan secara profesional tanpa melibatkan sebarang individu. Jauh tersasar apa yang ingin didebatkan dan yang timbul semalam hanya persoalan sekitar seorang pelajar sahaja Aswad - soal kenapa pelajar yang selalu sakit ini mendapat undi simpati, undi kesian, menyanyi sumbang, menari sumbang walaupun pernah buat album dan sudah tua untuk diberi peluang masuk AF5.

Tidakkah semua persoalan itu sudah obselete memandangkan konsert akhir akan berlangsung dalam masa dua hari sahaja lagi? Apakah motif dan agenda menyampaikan informasi begini. Adakah untuk mempengaruhi undi Aswad?

Yang hairannya ketelusan program ini telah dieksploitasikan untuk kepentingan orang-orang tertentu. Apabila kita terlalu ghairah cuba mempengaruhi orang-orang di luar sana dengan pandangan kita yang bersifat judgemental itu, bagaimana mungkin kita mampu bersikap profesional, fikirkanlah?

Soal Aizat, Dafi, Shawal atau pelajar-pelajar lain yang terkeluar sudah tidak perlu dibincangkan lagi. Semuanya sudah berlalu. Yang seharusnya dibincangkan sekarang ialah berkesan atau tidak pemberian empat lampu biru itu? Yang meleret-leret sampai out of tangent tu kenapa?

Mereka yang diundang untuk berdebat adalah mereka yang arif dalam bidang masing-masing tapi sayang mereka tidak dapat mempertahankan kewibawaan dan kredibiliti mereka apabila terlanjur dan emosi membincangkan pasal Aswad dan peribadinya.

Secara psikologi, adakah ini satu petanda awal yang pengaruh Aswad kuat sama hebat dengan penyokong 'grass root' nya maka sebab itulah kehadirannya yang lemah, sakit, lesu dan berbekalkan 'wajah kesian' tetap digeruni.

Dari semenjak Aswad mendapat chicken pox, 'berebut lagu dengan Rizal', menjadi bahan lawak ketika lagu 'Washing/watching', menjadi 'Penyu Menangis' ketika lagu 'Ayah & Ibu', masuk wad kerana disyakki demam denggi dan disifatkan sebagai pelajar paling degil, lembab, paling kayu dan tidak layak ke konsert akhir, Aswad tidak habis-habis dikutuk.

Sungguh hebat penangan Aswad sehingga kehadirannya menjadi kebencian hampir semua wartawan hiburan. Bila difikirkan balik, sehebat manakah pengaruh Aswad ini sehinggakan setiap langkah Aswad dijadikan bahan dan modal untuk berdebat?

Tidak dinafikan Astro telah berjaya mencipta kejutan, polemik dan fenomena baru dalam AF5 di mana seorang pelajar yang dipilih oleh Adnan Abu Hassan dan Deja Moss ini di Hotel Grand Continental, Pulau Pinang di peringkat saringan boleh menimbulkan kontroversi yang sebegini hebat.

Bermati-matian kelompok anti-Aswad inginkan dia kecundang. Berhempas pulas mereka ingin membuktikan Aswad bertahan hasil dari elemen kesian yang diujudkan oleh Astro.

Kononnya, kehadirannya hanya sekadar meraih undi simpati kerana bakat yang ada tidak sebesar mana. Semakin terdesak kelompok anti-Aswad ingin membuktikan semua ini, bertambah kuat lagi kubu pertahanan Aswadfrenzy, penyokong-penyokong yang on the fence selama ini juga kemungkinan akan bangun mengundi Aswad.

Dan pusingan ini akan berterusan sehinggalah Juara AF5 dinobatkan.

Ketika keputusan sudah diketahui, tidak perlulah lagi didebatkan kenapa dan mengapa Aswad kalah atau menang kerana apa saja jawapan yang diberi tidak akan memuaskan hati kedua pihak - baik yang anti-Aswad mahupun penyokongnya.

Itulah adat pertandingan, tidak ada siapa yang puas hati dan yang menjadi 'mangsa' percaturan ini tetap Aswad.

Oleh: Zieman (M-Online)

No comments: