15 May 2007

E-Voke mula tunjuk 'taring'

Dari minggu ke minggu, setiap kumpulan sudah mula menunjukkan kesungguhan mereka untuk memberikan persembahan yang terbaik, lebih-lebih lagi sejak format penyingkiran setiap minggu diperkenalkan bermula minggu lalu.

Peningkatan ketara mula dilihat di dalam persembahan beberapa buah kumpulan Ahad lalu. Bertemakan Hari Ibu, setiap kumpulan menampilkan persembahan istimewa didedikasikan khusus untuk kaum ibu.

Membuka tirai persembahan pada malam itu ialah Pianka yang mendendangkan lagu Engkau Bagaikan Permata dan Survivor. Seperti biasa, kekuatan kumpulan yang terdiri daripada empat wanita ini terletak kepada vokal mereka.

Namun sayang, walaupun Pianka dilihat boleh pergi lebih jauh lagi di dalam program ini, seperti yang dirasakan oleh tiga juri tetap Gang Starz, tetapi kerana mereka tidak begitu 'popular' di kalangan pengundi SMS, Pianka akhirnya menjadi mangsa seterusnya yang tersingkir daripada program tersebut.

"Kami sedar bila bertanding di negara orang, sudah tentu kami kurang mendapat perhatian orang di sini. Tapi, kami tidak menyalahkan sistem undian, kerana markah juga turut diberi oleh pihak juri.


Pujian harus diberikan kepada E-Voke yang berjaya memberikan
satu 'showmanship' yang hebat serta peningkatan dari segi vokal


"Sebab itulah, kami sentiasa cuba untuk dapatkan markah yang banyak daripada juri. Tetapi, kami berbangga juga kerana walaupun undian SMS hanya boleh dibuat di negara ini, tetapi kumpulan The Lima yang juga dari Indonesia berjaya berada di tangga teratas setiap minggu," ujar Nita, salah seorang ahli kumpulan Pianka yang ditemui pada sidang media sejurus selepas program itu berakhir.

Persembahan malam itu diteruskan dengan 'kejutan' yang ditampilkan oleh E-Voke menerusi lagu There You'll Be dan Papa Jahat. Saban minggu, E-Voke teruk dikritik oleh juri tetap mahupun juri jemputan yang merasakan tahap persembahan mereka agak mengecewakan.

Kumpulan yang berasal dari Sabah ini dilihat hanya bergantung sepenuhnya kepada kehebatan koreografi mereka, tetapi 'tenggelam' dari segi vokal. Malah, mereka juga adalah antara kumpulan yang sering berada di tangga terbawah.

Namun tidak pada Ahad lalu apabila buat pertama kalinya, persembahan mereka berjaya menambat hati pihak juri. Pujian harus diberikan kepada mereka yang berjaya memberikan satu showmanship yang hebat serta peningkatan dari segi vokal.

Bagi sebuah lagi kumpulan dari Malaysia, Colabr8, mereka seperti minggu-minggu sebelumnya terus menampilkan persembahan yang 'biasa-biasa' saja. Membawakan lagu Just The Two Of Us dan Mama, tidak banyak kelainan ditonjolkan oleh kumpulan yang mengenengahkan genre hip-hop ini.


Walaupun momentum The Lima dilihat agak sedikit menurun
sejak kebelakangan ini, tetapi ternyata kumpulan yang
dianggotai oleh tiga anak muda ini cepat mengatasi kelemahan tersebut

Kemunculan The Lima yang terus mengungguli carta Gang Starz sememangnya sentiasa dinanti-nantikan. Tidak dinafikan, kumpulan ini memang jarang menghampakan penonton serta pengundi-pengundi mereka.

Dengan lagu Kaulah Segalanya, The Lima terus menampilkan persembahan dengan gaya mereka tersendiri. Walaupun momentum mereka dilihat agak sedikit menurun sejak kebelakangan ini, tetapi ternyata kumpulan yang dianggotai oleh tiga anak muda ini cepat mengatasi kelemahan tersebut.

Saingan terdekat mereka, Mendua, juga mempamerkan satu persembahan yang cukup bertenaga menerusi lagu Mencintaimu. Selain terserlah dari segi vokal, mereka juga berjaya memberi sentuhan tersendiri pada lagu tersebut.

Mendua adalah satu-satunya kumpulan yang berjaya meraih lima bintang dari ketiga-tiga juri tetap program tersebut pada malam itu.

Persembahan diakhiri oleh Infinatez yang mendendangkan lagu Song For Mama. Kumpulan ini yang memang terkenal dengan persembahan 'bersahaja' mereka bagaimanapun malam itu dilihat ada sedikit kekurangan.

Mungkin pemilihan lagu yang dilihat kurang 'kena' dengan mereka, namun walaubagaimanapun, secara keseluruhan Infinatez tetap mempamerkan satu persembahan yang tidak mengecewakan!


Infinatez

Oleh: Wahida Asrani (M-Online)

No comments: